Tuesday, October 18, 2011

Perkahwinan Kanak2 (EDISI KINI)

Sebenarnya saya tertarik dengan artikel yg saya baca baru-baru ni pasal perkawninan kanak-kanak.. hurm, kesian buadak-budak ni..

Mereka sepatutnya bermain, belajar dan berseronok menempuh zaman kanak-kanak. Malangnya, kanak-kanak itu, dengan ada yang semuda lima tahun, dikahwinkan dalam majlis perkahwinan yang diadakan secara rahsia.

Perkahwinan seumpama itu dianggarkan berlaku kepada 10 juta hingga 12 juta kanak-kanak di negara sedang membangun setiap tahun.

Di India, kanak-kanak perempuan biasanya dikahwinkan dengan budak lelaki berusia empat atau lima tahun lebih tua daripada mereka. Namun di Yaman, Afghanistan, Habsyah dan beberapa negara lain yang kadar perkahwinan pada usia muda lebih tinggi, si suami biasanya adalah pemuda, duda berusia pertengahan tahun atau penculik yang merogol kanak-kanak itu dan kemudian menuntut mangsa menjadi isterinya.

Sebahagian daripada perkahwinan itu juga membabitkan urusan perniagaan atau untuk menyelesaikan pertelingkahan antara keluarga.

Kahwin paksa pada usia muda berlaku di kebanyakan tempat, selalunya bertentangan dengan undang-undang negara.
Namun bagi masyarakat yang mengamalkannya, ia dianggap cara paling sesuai untuk pendewasaan seseorang gadis. Bagi mereka, ia lebih baik daripada dia hilang keperawanannya kepada orang lain sebelum berkahwin.

Majlis perkahwinan biasanya diadakan pada tengah malam dengan seluruh kampung merahsiakannya kerana bimbang diserbu polis.
Dalam satu projek khas untuk majalah National Geographic, wartawan Cynthia Gorney dan jurugambar Stephanie Sinclair mengunjungi Yaman dan Rajashtan di India untuk menyiasat amalan mengejutkan itu.

Di India, gadis tidak boleh berkahwin sebelum mencecah usia 18, tetapi majlis membabitkan kanak-kanak perempuan berusia awal belasan tahun mungkin dilakukan secara tersembunyi.

Anak perempuan yang dalam usia muda, dengan ada yang berumur lima tahun, ‘ditumpangkan’ untuk dikahwinkan pada satu majlis perkahwinan dengan nama mereka tidak diselitkan dalam jemputan perkahwinan.

Dalam satu kes di Rajashtan, ketika kakaknya berusia belasan tahun dikahwinkan, seorang pengantin kanak-kanak berusia lima tahun, Rajani, tertidur sebelum majlis bermula.

Rajani, 5, dikejutkan daripada tidur dan didukung bapa saudaranya untuk dikahwinkan.
Seorang bapa saudaranya mengangkatnya dari katil dan mengendongnya di bawah sinaran cahaya bulan, menuju ke tempat paderi dan bakal suaminya — budak lelaki berusia 10 tahun — menunggu.

Meskipun pengantin kanak-kanak ditetapkan akan kekal bersama keluarga masing-masing sehingga mereka lebih dewasa, ia jarang diamalkan.

Tiga tahun lalu, kes membabitkan Nujood Ali menjadi tumpuan seluruh dunia. Gadis Yaman berusia 10 tahun itu berjaya melarikan diri meninggalkan rumah, menuju ke mahkamah untuk memohon cerai daripada suaminya, lelaki berusia 30-an yang sering memukulnya selepas dia dikahwinkan secara paksa oleh bapanya.

Buku Saya adalah Nujoo
 Dia menjadi gadis poster untuk kanak-kanak di seluruh dunia yang senasib dengannya. Buku terbaru mengenainya — ‘Saya Nujood, 10 tahun dan janda’ — diterjemahkan ke dalam 30 bahasa.

Nujood kini tinggal semula dengan keluarganya dan menyambung persekolahan.

Tidak semua gadis berjaya menyelamatkan diri seperti Nurood. Sebahagian mereka yang berkahwin ketika kanak-kanak sudah pasti tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan pelajaran.

Lebih menyedihkan, ada di kalangan mereka menerima kesan lebih buruk. Ramai diperkosa dan mempunyai jangka hayat rendah kerana melahirkan beberapa anak pada usia sangat muda.

Mereka juga mengalami penderaan fizikal dan terlalu takut untuk melarikan diri kerana diancam bunuh.

Dalam satu lagi kes di Yaman, kanak-kanak perempuan, Ayesha, 10, dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia 50 tahun.

Wartawan itu diberitahu oleh kakaknya, Fatima, Ayesha menjerit apabila melihat lelaki yang hendak dikahwinkan dengannya.

Ada jiran membuat laporan polis, namun bapa Ayesha memaksanya memakai kasut tumit tinggi supaya dia kelihatan tinggi dan memakai purdah supaya wajahnya tidak dapat dilihat.

Si bapa memberi amaran, jika dia dipenjara, dia akan membunuh Ayesha apabila dibebaskan kemudian. Polis meninggalkan rumah lelaki itu tanpa menahan sesiapa dan Ayesha kini tinggal bersama suaminya di kampung yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari rumah keluarganya.

“Dia mempunyai telefon bimbit. Setiap hari dia menelefon saya, dan dia pasti menangis,” kata Fatima.

Kesan kesihatan sangat serius dan dalam beberapa kes, ia menyebabkan maut.

Seorang doktor di Sanaa, ibu negara Yaman, menyenaraikan beberapa kesan kesihatan terhadap kanak-kanak perempuan yang dipaksa mengadakan seks dan padah akibat melahirkan anak ketika mereka belum dewasa daripada segi fizikal.

“Kanak-kanak perempuan memang terlalu muda untuk memahami konsep hamil. Menurutnya, ada yang tidak tahu mengenai bayi di dalam perut mereka ketika mengandung,” katanya.

Tidak ramai yang dibekalkan dengan maklumat mengenai penjagaan diri dan anak yang baru dilahirkan, menyebabkan peningkatan kadar kematian di kalangan bayi.

Aktivis yang berusaha menghalang perkahwinan kanak-kanak dan meningkatkan kualiti kehidupan wanita sedar betapa sukarnya untuk menyelamatkan mangsa.

Molly Melching, pengasas Tostan, sebuah pertubuhan yang berpusat di Senegal, memberitahu National Geographic: “Jika kita pisahkan seorang gadis dan memencilkannya dari masyarakatnya, apa akan berlaku dengan kehidupan mereka? “Anda tidak boleh menggalakkan kanak-kanak perempuan melarikan diri. Anda tidak boleh menangani kes perkahwinan kanak-kanak itu dengan memerangi atau memalukan orang ramai dan berkata mereka ketinggalan zaman. “Usaha perlu dilakukan untuk mengubah seluruh masyarakat. Dan jika itu berjaya, amalan itu pasti dapat dihapuskan.”

Di Malaysia:

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan lelaki yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun di negeri ini baru-baru ini umpama orang yang 'lapar' sunah Nabi.


Di samping menyatakan kekesalannya, beliau berkata, alasan bahawa Nabi Muhammad sendiri mengahwini isterinya Siti Aisyah yang berusia 10 tahun tidak boleh diambil kira sebagai mengikut sunah.

Tok Guru
Katanya, tidak semua sunah boleh diikuti umat Islam kerana ia mesti diselarikan dengan budaya setempat.

"Benar, Nabi kita berkahwin dengan Siti Aisyah (umur 10 tahun). Tetapi benda lagu ini, macam pakaian, sunah Nabi adalah kita pakai menutup aurat.

"Nabi pakai seluar atau pakai sarung itu terserah kepada budaya kita, ada benda kita wajib turut dia (Nabi Muhammad), ada benda tidak perlu kita turut.

"Orang ni (yang mengahwini kanak-kanak tersebut) sengaja macam 'lapar' sunah Nabi, pada hal banyak lagi benda lain yang tak diturut pun," katanya.

Media ada melaporkan tindakan seorang bapa dari Jelawang, Kuala Krai mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun pada tahun lepas.

Ia kes kedua dalam masa terdekat membabitkan perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur di negeri ini apabila seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas sebelum itu.

Tegas Tok Guru perkahwinan dengan kanak-kanak seperti dalam dua kes tersebut tidak sepatutnya berlaku walaupun ia sah dari segi syarak.

Katanya, peraturan perkahwinan yang sudah ditetapkan dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan yang mensyaratkan umur minimum 16 tahun bagi perempuan sepatutnya diikuti bagi kesempurnaan perkahwinan dan zuriat.

"Dari segi syarak sah, tetapi perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Kita berkahwin bukan sekadar mahukan perempuan tetapi mahukan zuriat. Mana boleh perempuan berumur 11 tahun melahirkan zuriat?

"Manusia ada yang boleh beri faedah dan ada yang tidak, macam kita makan durian, kita makan isi sahaja, kulit kita buang, pulur dia kita buang, butir kita buang, manusia pun begitu juga.

"Oleh yang demikian kahwin dengan budak umur 11 tahun buat apa? Banyak lagi perempuan di Kelantan yang sudah cukup umur kenapa tak kahwin dengan dia?" katanya.

Sumber: Metro

No comments:

Post a Comment